PULAU PINANG – Seramai 4,500 penduduk di Batu Maung dan Teluk Tempoyak dekat sini bakal mengalami gangguan bekalan air bersih pada 26 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd. (PBAHB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, gangguan bekalan dijangka berlaku dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
“Ia disebabkan saluran paip air 900mm sedia ada di sepanjang Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu akan ditutup sementara bagi membolehkan pelencongan saluran paip dari Batu Maung sehingga Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dilakukan.
“Penutupan saluran paip adalah perlu untuk membolehkan penyambungan 2 paip keluli lembut (MS) di beberapa lokasi di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jaseni berkata, gangguan bekalan air yang akan menjejaskan kira-kira 4,500 pengguna tersebut melibatkan enam kawasan berikut:
1. Southbay Plaza
2. Lagenda Southbay
3. Kawasan Solok Teluk Tempoyak
4. Limbongan Batu Maung
5. Muzium Perang Batu Maung
6. Kampung Teluk Tempoyak
Jelas beliau, gangguan bekalan air di Batu Maung dan Teluk Tempoyak ini perlu bagi membolehkan kerja-kerja pelencongan paip air dilaksanakan.
Tambah beliau, objektif utama adalah untuk mengalihkan saluran paip dari tapak kerja jalan raya JKR, sekaligus mengurangkan risiko gangguan bekalan air tidak berjadual di kawasan selatan Pulau Pinang.
“PBAPP memohon maaf di atas apa-apa kesulitan yang berlaku. Kami menasihati semua pengguna yang terjejas untuk menyimpan air yang mencukupi,” katanya. – MYNEWSHUB.CC