SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri hari ini bersetuju melantik anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Datuk Abdul Rahman Mohd Redza untuk menganggotai Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan.
Pelantikan ini dibuat menurut Peraturan 28 Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Sembilan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr Awaludin Said berkata pelantikan ini bagi menggantikan kekosongan berikutan kematian ADUN Lenggeng Datuk Ishak Ismail pada 18 Julai lepas semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Seri Menanti.
Pelantikan Abdul Rahman dicadangkan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) dan disokong oleh Datuk Hasim Rusdi (BN-Labu), semasa persidangan DUN Negeri Sembilan.
Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN ini dianggotai enam anggota yang dipengerusikan Speaker, empat anggota Dewan dan seorang penasihat undang-undang. – BERNAMA