PADANG BESAR – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Datuk Sabry Ahmad kini banyak memberi tumpuan terhadap memastikan jentera UMNO bergerak lancar dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Selepas tidak lagi menjadi anggota Exco April lepas, beliau meluangkan lebih banyak masa untuk membantu rakyat dalam kawasan yang diwakilinya.
“Semasa menjadi anggoga Exco dahulu, saya terpaksa datang ke pejabat seawal pukul 8 pagi dan balik pukul 5 petang dan ada masa sehingga malam kecuali cuti hujung minggu,” katanya kepada Bernama.
Sabry dan ADUN Guar Sanji Jafperi Othman digugurkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dalam rombakan Exco negeri, April lepas.
“Saya akan terus bekerja kuat untuk kepentingan parti dan rakyat. Sama ada dipilih bertanding lagi pada PRU14 atau tidak, bukan perkara utama. Jikapun tidak terpilih, saya akan tetap sokong pengganti saya.
“Masa dicalonkan dahulu, banyak kawan-kawan di bawah membantu. Apabila tiba masanya saya pula akan bantu mereka,” katanya.
Sabry, 64, ialah Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid pada tahun 2000 hingga 2004 dan dipiih mewakili Barisan Nasional bertanding di DUN Santan pada PRU 2004, 2008 dan 2013. – BERNAMA