KUCHING – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia melancarkan penerbangan sulung dari Kuching, Sarawak ke Langkawi, Kedah bermuhari ini.
Laluan baharu tersebut akan beroperasi dengan kekerapan penerbangan sebanyak empat kali seminggu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
Penerbangan pertama yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini pada pukul 12.55 tengah hari, diiringi oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah.
Turut serta ialah Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz dan Ketua Komersial AirAsia Berhad, Spencer Lee.
Ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pula disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Azizan Noordin dan Pengurus Bahagian Promosinya, Nor Aznan Suleiman.
Sempena meraikan laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari RM100 bersih sehala yang boleh ditempah secara atas talian di airasia.com bermula hari ini.
Promosi istimewa tersebut berlangsung sehingga 13 Ogos 2017 bagi tempoh perjalanan sehingga 8 Februari tahun depan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA