WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) tidak akan mengiktiraf Dewan Perlembagaan Negara (ANC) Venezuela yang ditubuhkan bagi meminda perlembagaan, lapor agensi berita China Xinhua.
“Kami sedang menilai semua dasar dan melihat apa yang boleh dilakukan bagi merubah keadaan, sama ada (Presiden Venezuela Nicolas Maduro) perlu memutuskan beliau tidak mempunyai masa depan dan berundur atau kita boleh mengembalikan proses pemerintahan kerejaan kepada perlembagaan,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan semalam.
Isnin lepas, AS mengenakan sekatan ekonomi terhadap Maduro, sehari selepas Venezuela mengadakan pengundian memilih anggota ANC.
“Sekatan terhadap Maduro membuktikan dengan jelas AS membantah dasar rejimnya,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin.
Maduro dalam kenyataan balasnya, menafikan sekatan itu mensasarkan dirinya secara peribadi namun beliau berbangga dipilih untuk dikenakan tindakan sedemikian.
“Mereka sekat saya kerana tindakan mengadakan proses pilihan raya unik dalam sejarah Amerika…dan kerana tidak mematuhi perintah kerajaan asing, jika itu benar, saya bangga dengan tindakan ke atas saya.
“Ancaman dan sekatan…tidak menakutkan saya. Tiada yang perlu ditakutkan,” kata Maduro sambil menambah bahawa sekatan itu menunjukkan betapa tertekannya Washington.
Selain Maduro, AS turut mengenakan sekatan ke atas 13 pegawai kanan atau bekas pegawai kanan Venezuela selain memberi amaran kepada yang lain jika terbabit dengan ANC akan berdepan nasib sama.
Langkah kerajaan mengadakan pilihan raya bagi memilih anggota ANC menerima tentangan daripada gabungan parti pembangkang yang mendakwa ia taktik presiden bagi mengukuhkan kekuasaan.
Gesaan penubuhan ANC disuarakan Maduro pada Mei bertujuan meminda perlembagaan sebagai usaha menangani krisis politik yang menyebabkan negara lumpuh dan mewujudkan perpecahan politik di negara Amerika Selatan. – BERNAMA