MAKKAH – Hati ibu mana yang tidak tersentuh bila melihat anak-anak sama-sama berusaha keras mengumpul wang untuk membolehkannya ke Tanah Suci mengerjakan haji.
Warga emas Muslikah Abd Kadir ketika ditemui pemberita di maktab penginapannya di Hotel Zwar Al Bit di sini berkata, “Anak-anak bersama-sama kumpul wang untuk membolehkan makcik datang ke sini.
“Makcik datang bersama anak saudara. Tidak payahlah risau sangat, kita sihat di sini,” kata ibu yang sudah menjangkau usia 92 itu, dengan perasaan penuh yakin.
Beliau merupakan antara jemaah Malaysia paling tua melaksanakan ibadah haji tahun ini.
Biarpun pertuturannya kurang jelas didengar, pemberita memahami pernyataannya berulang kali bahawa beliau amat bersyukur kerana terpilih sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah) di Tanah Suci.
Muslikah berkata, impiannya yang ditunggu-tunggu selama ini tercapai akhirnya.
“Alhamdulillah… gembira dan syukur sangat-sangat dapat datang ke sini (Makkah),” katanya yang berasal dari Kampung Parit 5, Sungai Sumun, Bagan Datuk, Perak.
Ibu itu berkata, makanan di sini juga semuanya sedap dan menyelerakan.
Sementara itu, Jaimah Selamat, 62, bersyukur kerana sepanjang menjaga ibu saudaranya itu di sini, warga emas berkenaan mampu melaksanakan ibadahnya sendiri walaupun terpaksa berkerusi roda.
“Saya memang mahu menolaknya sendiri (menggunakan kerusi roda) supaya ibu saudara saya dapat merasai nikmatnya bertawaf di hadapan Kaabah.
“Tetapi semasa melakukan umrah pertama kali tempoh hari, kami dirempuh jemaah lain. Namun itu tidak melemahkan semangat saya untuk menunaikan tanggungjawab.
“Jika upah orang lain yang menolak, saya bimbang ibu saudara saya tidak dapat menghayati sepenuhnya melakukan ibadah itu,” katanya, dan menyatakan Muslikah dalam keadaan sihat dan begitu bersemangat untuk melakukan ibadah di Masjidil Haram.
Jaimah mengucapkan terima kasih kepada petugas Tabung Haji (TH) yang sentiasa mengambil tahu kebajikan ibu saudaranya itu di sini. – BERNAMA