“TERIMA kasih abang JPJ…” Itulah yang dapat diucapkan oleh seorang bapa ketika anaknya yang berusia 14 bulan mengalami sawan pada 18 Ogos yang lepas.
Malah jasa dua orang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bertubi tubi mendapat pujian dari netizen selepas tindakan pantas mereka mengiringi kereta Muhammad Saiful Jaafar, 36; ke Hospital Serdang.
“Terima kasih kepada mereka berdua, walaupun itu bukan tugas mereka, tetapi atas dasar kemanusiaan mereka tetap membantu,” kata Muhammad Saiful dipetik dari Harian Metro.
Sewaktu kejadian cemas itu berlaku, Saiful dan isterinya sedang dalam perjalanan dari rumah mereka di Sungai Pelek, Sepang ke Hospital Selayang untuk membawa anak bongsunya, Aryan yang mengalami demam panas dan sawan.
Ketika Aryan, 14 bulan; diserang sawan, dia sedang dalam pangkuan ibunya, Nellie Ismail, 35, dan itu membuatkan Saiful memecut laju keretanya sehingga melebihi had laju sambil menghidupkan lampu kecemasan.
“Ketika berhenti di lampu isyarat di jalan KLIA 1, ada kenderaan JPJ di hadapan kami dan saya terus pergi keluar kereta dan pergi kepada mereka.”
“Saya memaklumkan kepada anggota terbabit, saya meminta maaf kerana mahu memandu laju disebabkan bayi kekejangan demam panas,” tambahnya menceritakan kejadian tersebut.
Selepas anggota JPJ itu sedia maklum tentang keadaan yang sedang terjadi, mereka menawarkan untuk mengiringi keretanya dan meminta Saiful memandu mengekori kereta JPJ dari belakang.
“Saya mengekori kenderaan JPJ sehingga Putrajaya berdekatan susur ke Hospital Serdang. Laluan itu bukan lebuh raya tapi jalan lama yang banyak digunakan oleh kenderaan pengguna lain.
“Alhamdulillah, dengan bantuan mereka, saya sampai ke hospital lebih cepat. Terima kasih kepada mereka berdua,” katanya Saiful yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu.
Anggota JPJ yang dikatakan memegang jawatan sebagai pembantu penguat kuasa JPJ Selangor dikenali sebagai Mohd. Azizul Mohd. Anuar, 33; dan Mohd. Taufik Ramli, 31; sememangnya layak digelar hero kerana telah bertindak pantas membantu pasangan suami isteri ini.
“Ketika kejadian, saya dan Mohd Taufik selesai tugas sempena Sukan SEA serta mahu pulang ke Ibu Pejabat JPJ Putrajaya. Semasa berhenti di lampu isyarat, ada seorang lelaki mengetuk cermin tingkap dengan kuat dan dia dalam keadaan cemas.
“Lelaki itu beritahu, dia mahu memandu laju kerana anak sakit perlu ke hospital segera malah, dia tidak minta kami mengiringi keretanya. Saya beritahu rakan untuk membantu lelaki itu dan kami terus memasang lampu mata arah serta siren untuk memberi laluan kepada keretanya,” kata Azizul.
Tambah Mohd Azizul, dia sememangnya memahami situasi yang sedang dilalui oleh pasangan suami isteri itu kerana dia juga mempunyai seorang anak. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah