TUARAN – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) merupakan model peranan dan medium perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini, kata Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani.
Katanya jumlah keanggotaan Rela yang ramai dan merangkumi pelbagai kaum menjadi satu keunikan bagi jabatan itu selain platform memperkasakan lagi semangat kesatuan serta setiakawan antara mereka.
“Justeru, saya mahu semua anggota Rela di peringkat akar umbi menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat. Sikap saling membantu tanpa mengira suku kaum serta ras harus disemai dalam diri setiap anggota Rela,” katanya berucap melancarkan Bulan Kemerdekaan Rela Sabah 2017 di Pusat Latihan Rela di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Dr Jamaluddin Mohd Ali.
Mengulas lanjut, Nor Rizan berkata keanggotaan Rela di Sabah seramai 292,000 adalah satu jumlah besar, dan jika digembleng dengan sepenuhnya akan memberi impak dalam setiap aktiviti dilaksanakan.
Nor Rizan juga yakin anggota Rela Sabah mampu menjadi contoh kepada rakyat Malaysia bahawa kesejahteraan dan perpaduan dapat dicapai dengan mudah melalui toleransi dan persefahaman.
“Saya ingin mengingatkan kepada anggota Rela bahawa kita bukan sahaja berjuang untuk menjaga kedaulatan negara tetapi kita juga mesti berjuang mengekalkan keharmonian serta persefahaman antara kaum yang sedia terjalin sejak sekian lama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Rela Sabah Mohammad Pauzi Jhumat dalam ucapannya berkata Rela Sabah kini sedang giat menambah keanggotaan selain menjalankan aktiviti kemasyarakatan dengan 375 program Bakti Rela akan dilaksanakan bermula bulan ini hingga Disember depan. – BERNAMA