RIYADH – Raja Arab Saudi, Raja Salman mengarahkan sempadan berhampiran Qatar dibuka bagi membolehkan rakyat negara itu mengerjakan haji, lapor media tempatan.
Keputusan dibuat selepas Doha menghantar utusan buat kali pertama sejak Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar sejak 5 Jun lalu.
Agensi berita Arab Saudi melaporkan, Raja Salman mengarahkan jemaah Qatar dibenarkan masuk melalui sempadan bagi memudahkan mereka menunaikan rukun Islam kelima itu.
Baginda turut mengarahkan jet milik penerbangan Saudi dihantar ke lapangan terbang Doha untuk membawa jemaah Qatar manakala kos ditanggung baginda. – AFP