KUALA LUMPUR – Satu kempen kesedaran tentang pemakanan sihat yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah dirasmikan oleh menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa petang tadi.
Kempen ‘Suku Suku Separuh’ sebagai satu mesej pengukuhan budaya pemakanan sihat yang menerangkan Konsep Pinggan Sihat Malaysia.
‘Suku Suku Separuh’ membawa maksud suku bahagian pinggan diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi, mee, roti dan bijirin, suku lagi diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam dan daging manakala separuh pinggan lagi diisi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Ketika ditemui, Subramaniam menyifatkan kempen ini sebagai kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya mengamalkan pengambilan makanan sihat setiap hari kerana kadar obesiti semakin meningkat ke 17% dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut beliau, daripada kajian yang dibuat oleh kementerian, didapati rakyat Malaysia tidak mengamalkan diet yang betul dalam pemakanan harian dan pengambilan sayur sangat kurang.
Mengulas mengenai kempen ini, Subramaniam turut menyeru supaya semua pihak termasuk usahawan-usahawan kedai makan mahupun restoran sama-sama menjual dan menghidangkan lauk-pauk yang rendah kalori.
Katanya lagi, ini bagi membolehkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, jantung dan darah tinggi dapat dikurangkan.
“Apa yang boleh dilakukan oleh restoran-restoran dan kedai makan di luar sana ialah mereka seharusnya menyediakan dan menjual pilihan makanan yang sihat,” ujarnya.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim