JOHOR BAHRU – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit Ayub Jamil hari ini menafikan dakwaan dirinya akan melompat parti daripada UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), di sini.
Dalam kenyataannya di sini hari ini, beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan laman sosial pembangkang itu berniat jahat.
“Kenyataan tersebut menyatakan bahawa Ketua Bahagian PPBM Batu Pahat Mohd Zaid Mohd Yusof telah beberapa kali berjumpa dengan ADUN berkenaan (saya) untuk mengadakan perbincangan.
“Semua perkara yang dinyatakan tersebut adalah fitnah, menggunakan pendekatan politik murahan. Saya tidak pernah sekalipun berjumpa, jauh sekali berbincang dengan pihak itu (pembangkang),” katanya.
Beliau berkata, keutamaannya kini adalah membantu rakyat sepertimana yang diamanahkan kepadanya oleh UMNO.
Semalam, laman sosial pembangkang memuat naik kenyataan yang menyebut bahawa Ayub akan berhijrah ke PPBM dan telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi merangka strategi yang lebih tersusun. – BERNAMA