JIKA dulu orang selalu kaitkan pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi dengan program pertandingan Akademi Fantasia (AF).
Kini, nama beliau sekali lagi bakal menggegarkan rancangan realiti berkenaan menerusi AF Megastar dengan aksi celoteh bersahajanya.
Mana taknya, selama lima musim berturut-turut mengacarakan rancangan realiti itu. Bak kata orang, Aznil dan AF berpisah tiada.
Menurut Aznil yang lebih mesra dengan panggilan Pak Nil, dia akan menggalas tanggungjawab itu dengan baik dan mengimbau kenangan bersama kesemua 24 peserta yang terlibat dengan program itu.
“Saya mungkin tidak boleh menyaingi pengacara selepas saya meninggalkan AF tetapi yang pasti menerusi program ini saya akan kembali membawa kenangan bersama semua peserta.
“Ia tanggungjawab yang besar dan Insya-Allah saya akan galasnya dengan baik,” katanya dipetik laporan mStar Online.
Program yang bersiaran selama lapan minggu ini menampilkan 24 peserta yang terdiri daripada lapan bekas juara AF dan 16 peserta lain daripada AF1 hingga AF2016.
Mereka adalah Rosma (AF1), Zahid (AF2), Adam (AF2), Anding (AF2), Bob (AF2), Amylea (AF3), Idayu (AF3), Marsha (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Nubhan (AF6), Aril (AF7), Shahir (AF8), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Faizul (AF2013), Azhar (AF2013), Indah (AF2013), Firman (AF2014), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015), Amir (AF2016) dan Ara (AF2016).
Jika namanya program nyanyian, sudah semestinya ada juri yang akan menilai persembahan mereka. Untuk edisi ini, Datuk Ramli MS dan Syafinaz merupakan juri profesional merangkap juri tetap namun setiap minggu akan ada seorang juri jemputan diundang.
Menurut mStar Online lagi, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad menyatakan 24 peserta ini akan berentap pada Konsert AF Homecoming bagi memilih 12 yang terbaik antara mereka ke peringkat seterusnya.
“Semua 24 peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan untuk berentap untuk melayakkam diri ke peringkat seterusnya dan hanya 12 peserta akan dipilih.
“Bagi konsert prelude markah adalah daripad juri profesional sepenuhnya manakala konsert mingguan 40 peratus undian SMS dan online selebihnya juri,” ujarnya.
Mengenai pemilihan peserta AF Megastar pula, mereka dipilih berdasarkan prestasi terkini dalam pusingan tertutup dan bekas juara pula diserap secara automatik.
Jadi, jika anda ingin mengimbau kembali zaman AF bersama Pak Nil, jangan lupa saksikan program ini di Royal Theater, Shah Alam pada setiap Ahad bermula 3 September ini! – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim