KUALA LUMPUR – Beberapa jalan di sekitar Ampang Jaya akan ditutup pada 20 Ogos ini bagi memberi laluan kepada Program Kayuhan Santai Jalur Gemilang dan Berjalan 10,000 langkah.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam satu kenyataan berkata, program tersebut merupakan program tahunan dan dianjurkan buat kali kelima bersempena sambutan Hari Kemerdekaan.
“Jalan terbabit akan ditutup sepenuhnya atau sementara iaitu sekitar 10 hingga 15 minit secara berperingkat bermula pukul 7.30 hingga 9.30 pagi,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, jalan yang akan ditutup sepenuhnya sepanjang hari tersebut adalah susuu masuk dari MRR2 ke Jalan Pandan Utama dan sepanjang Jalan Pandan Utama.
Kata kenyataan itu, jalan yang akan ditutup sementara secara berperingkat adalah Jalan Pandan Mewah, Jalan Taman Putra, Jalan Ampang, Jalan Wawasan Ampang dan Jalan Ampang Campuran.
“Pengguna jalan raya terlibat diharap merancang perjalanan masing-masing bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” kata MPAJ. – MYNEWSHUB.CC