NEW DELHI – Bekas Menteri Pembangunan Bandar India M. Venkaiah Naidu hari ini, mengangkat sumpah jawatan sebagai Naib Presiden baharu negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.
Pemimpin berusia 68 tahun itu dilantik sehari selepas penyandangnya Hamid Ansari melepaskan jawatan selepas dua penggal berturut-turut.
Naidu menewaskan calon pembangkang Gopal Krishna Gandhi yang juga cucu kepada ikon pra-kemerdekaan Mahatma Gandhi merangkap bekas Gabenor Bengal Barat, dengan memperoleh 272 undi pada pemilihan wakil presiden 5 Ogos lepas.
Sebelum ini, beliau pernah menjadi ketua Partai Bharatiya Janata selama hampir dua tahun.
Majlis angkat sumpah berlangsung di Istana Presiden yang turut dihadiri Presiden India Ram Nath Kovind, Perdana Menteri Narendra Modi dan pemimpin parti kongres pembangkang Sonia Gandhi. – BERNAMA