MELAKA – Dua keluarga di Batu Berendam yang anggota keluarga mereka akan berangkat ke tanah suci terpaksa berada di pusat pemindahan banjir.
Mereka diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah pagi tadi.
Mohammad Qamarul Izzat Ishak, 29, berkata keluarganya telah membuat persiapan akhir bagi majlis kenduri doa selamat untuk bapanya Ishak Abd Ghalim yang akan berangkat ke tanah suci esok.
“Kami rancang untuk adakan majlis doa selamat pagi ini sebelum berangkat ke Kompleks Haji Kelana Jaya di Selangor selepas solat zohor esok. Namun kami reda dengan ujian ini dan berharap bapa kami selamat pergi dan balik untuk menunaikan haji,” katanya kepada Bernama di pusat pemindahan itu.
Beliau berkata air memasuki ke dalam rumah kira-kira 3.00 pagi ketika ketika mereka sedang lena tidur.
“Saya hanya terjaga apabila terasa air pada badan saya dan saya terus memaklumkan kepada ahli keluarga saya yang lain,” katanya.
Norizah Osman, 52, pula berkata beliau sedih kerana suaminya Rosdi Ibrahim, 41, sedang membuat persiapan akhir sebelum bertolak ke tanah suci beberapa hari lagi.
Ini adalah kali pertama mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan apabila diarah berbuat demikian 11 pagi tadi,”katanya. – BERNAMA