KUANTAN – Aplikasi BizZakat.my yang dibangunkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mampu menjadi medium untuk memperkenalkan dan mempromosikan perniagaan usahawan Islam yang membayar zakat dengan badan itu, kata TImbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.
Beliau berkata aplikasi itu mengandungi direktori usahawan terbabit yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk makanan dan minuman, barangan serta perkhidmatan dari setiap daerah atau kawasan di seluruh negeri ini.
“Aplikasi ini dibangunkan berkonsepkan situasi menang-menang kepada pembayar zakat dengan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) menyediakan promosi percuma kepada usahawan yang membayar zakat kepada PKZ.
“Setakat ini ia mempunyai 2,000 keanggotaan dan kita menyasarkan untuk menarik lebih 5,000 keanggotaan daripada 35,000 usahawan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas program pengenalan aplikasi BizZakat di sini, hari ini.
Wan Abdul Wahid berkata aplikasi berkenaan juga diharap dapat menyumbang ke arah memartabatkan lagi ekonomi umat Islam terutama dalam bidang keusahawanan.
Dalam pada itu, beliau berkata pembayaran zakat berada di landasan baik dengan RM78.8 juta telah dikutip setakat ini daripada RM120 juta yang disasarkan untuk tahun ini.
Dari segi pengagihan zakat pula, beliau berkata sehingga 31 Julai lepas MUIP telah mengagihkan RM86.9 juta kepada golongan yang berhak. – BERNAMA