KUALA LUMPUR – Cabang AirAsia bagi pesawat pajakan, Asia Aviation Capital Ltd (AACL), telah memperbadankan Asia Aviation Capital (Ireland) Ltd, sebuah anak syarikat milik penuh, dalam usaha bagi mewujudkan satu platform pajakan dan kehadiran pemasaran di Eropah.
Subsidiari itu telah ditubuhkan melalui Asia Aviation Capital Pte Ltd, sebuah unit AACL, katanya dalam satu makluman di Bursa Malaysia hari ini.
“Penubuhan anak syarikat itu dijangka tidak akan memberikan sebarang kesan serta-merta ke atas modal saham berbayar dan terbitan ke atas pegangan saham pemegang saham utama AirAsia,” katanya.
AirAsia berkata penubuhan anak syarikat ini juga tidak tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham syarikat dan pihak-pihak berkuasa lain di Malaysia. – BERNAMA