TELUK INTAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDPNKK) dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan pindaan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kedua-dua menteri bertanggungjawab iaiatu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mendapatkan pandangan daripada penasihat undang-undang serta pegawai teknikal kementerian masing-masing.
“Seperti arahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, cadangan pindaan itu adalah untuk menangani manipulasi orang tengah bagi mengatasi ‘kelompongan’ akta tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Arena Square Kampung Sungai Jejawi dekat sini hari ini.
Semalam, timbalan perdana menteri berkata cadangan pindaan akta berkenaan akan dibentang di Parlimen pada Oktober atau selewat-lewatnya akhir November sebagai langkah menangani manipulasi orang tengah.
Katanya pindaan itu bertujuan menambah baik dan memperkemas akta berkenaaan sekali gus menangani isu kenaikan kos sara hidup dan harga barang secara bersepadu .
Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak berkata untuk mengekang harga barangan daripada meningkat tanpa kawalan, bekalan barangan keperluan di pasaran perlu sentiasa mencukupi.
“Bukan semua barang makanan itu dikawal harganya dan kalau permintaan melebihi bekalan, itulah yang menyebabkan harga barang naik,” katanya.
Katanya daripada segi pemantauan harga barangan, itu adalah di bawah bidang kuasa KPDNKK dan beliau percaya kementerian berkenaan mempunyai cara tersendiri bagi membendung peniaga atau orang tengah mengambil untung secara tidak munasabah. – BERNAMA