MENDIANG Chester Bennington dan Chris Cornell terus dikenang sebilangan besar rakan-rakan selebriti mereka dalam majlis MTV Video Music Awards yang diadakan awal pagi tadi di The Forum, California, Amerika Syarikat.
Aktor dan vokalis 30 Second to Mars, Jared Leto diberi penghormatan menyampaikan segmen tribute tersebut di hadapan ribuan penonton majlis anugerah itu.
Dalam ucapannya itu, Jared berkata Chester banyak mengajarnya mengenai kehidupan terutama sekali berkaitan dengan kerjaya selain sentiasa berusaha memajukan diri dalam bidang seni di samping tidak bersikap meninggi diri apabila berada dalam industri.
“Bila saya terkenangkan Chester, saya lihat gambar-gambar lama dia, yang mana dia selalu tersenyum. Saya juga teringatkan isterinya, keluarganya, rakan-rakan bandnya, yang mana dia dah anggap macam ahli keluarganya sendiri.
“Saya akan sentiasa rindu suaranya yang mana akan hidup buat selama-lamanya,” kata Jared dalam ucapannya itu.
Dalam ucapan itu juga, Jared turut menyentuh mengenai tribute yang dibuat Chester semasa majlis pengebumian rakannya Chris Cornell, vokalis Audioslave yang meninggal dunia pada 18 Mei lalu.
Sebaik habis menyampaikan ucapannya itu, pihak MTV kemudiannya terus memutarkan video persembahan Linkin Park dalam MTV VMA’s pada 2010.
Chester ditemui mati bunuh diri di kediamannya pada 20 Julai lalu yang mana tarikh itu secara kebetulannya merupakan tarikh ulang tahun kelahiran Chris.
MTV VMA’s 2017 dihoskan Katy Perry dan anugerah utama Video of the Year telah dimenangi penyanyi Kendrick Lamar menerusi lagu Humble. – MYNEWSHUB.CC