TERDAHULU jejaka kacak, Wahyuddin Syed Yunus pernah dikecam sebagai lelaki ‘kanta lekap’ tetapi kemudian dipuji pula kerana miliki wajah kacak watak hero sebuah filem animasi.
Terkini, jejaka ini hangat pula dikatakan bakal beraksi di pentas peragaan. Betul ke? Ada apa pada Wahyu?
Tanggapan itu bermula susulan daripada beberapa gambar terkini yang telah dimuat naik oleh jejaka tersebut di laman sosial.
Aksi jejaka itu dilihat persis seorang model dengan teknik fotogenik yang dikatakan seperti iklan antrabangsa.
Namun tuan badan, Wahyu berkata gambar yang dihebohkan itu hanyalah bagi memenuhi permintaan seorang jurugambar untuk melengkapkan portfolio nya.
Tambahnya lagi, sesi penggambaran itu diambil adalah sejurus selesai sesi penggambaran produknya apabila diminta oleh jurugambar berkenaan untuk berbuat sedemikian.
“Saya dah lama kenal jurugambar ni. Saya sekadar bantu dia untuk portfolio. Tapi bukan bermakna saya mahu jadi model.
“Walaupun dapat tawaran jadi model, termasuk jadi pelakon untuk drama bersiri, tapi saya tolak. Buat masa ni belum lagi terfikir ke arah itu sebab saya ni penyegan orangnya,” katanya dilapor mStar Online.
Jejaka kacak yang berasal daripada Tawau, Sabah ini dikenali apabila tular dalam laman sosial ekoran disamakan dengan watak Flynn Rider daripada sebuah filem animasi terbitan Disney, Tangled.
BACA : Jejaka Tawau Punyai Wajah Persis Hero Filem Animasi
Dalam pada itu, jurugambar dikenali dengan nama Farah yang mengambil gambar Wahyu menjelaskan bahawa dia selama ini turut membuat service mengambil foto-foto perkahwinan.
Farah, 35, berkata sepanjang menjadi jurugambar kebanyakan gambarnya hanya terdiri daripada pasangan pengantin dan model wanita sahaja.
Tambahnya lagi, Wahyu adalah model lelaki pertama dalam portfolio nya sepanjang karier sebagai jurugambar.
“Wahyu adalah model lelaki pertama dalam portfolio saya. Sebelum ni bukan tak ada model lelaki, tapi selalu saja tak menjadi sama ada disebabkan tema atau masa.
“Ambil gambar pengantin lelaki tak sama dengan model lelaki. Kalau pengantin, saya perlu hormati kehendak mereka sebagai pelanggan, jadi banyak gaya yang terhad dan kebanyakan gambar bersama pasangan dan berpakaian pengantin,” katanya.
Walaupun Farah sudah bergelar seorang isteri, namun dia mengatakan suami tidak pernah menyekat mahupun menghalangnya mengambil gambar model lelaki asalkan batas pergaulan masih terjaga.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang Wahyu, Farah berpendapat pemuda itu berkebolehan dalam dunia peragaan ekoran dia boleh melakukan bermacam-macam gaya.
Bukan itu sahaja, wanita itu turut mengakui pemuda ini mudah memberi kerjasama sepanjang sesi penggambaran walaupun ketika itu merupakan kali pertama dia bergambar sebagai model.– MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura