KUANTAN – Landskap pembangunan ekonomi di Pantai Timur akan melalui fasa perubahan yang drastik hasil pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka meningkat sehingga 1.5 peratus apabila ia siap menjelang 2024.
Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata projek yang melibatkan laluan sepanjang sepanjang 688 kilometer dengan kos kira-kira RM55 bilion juga mampu menjimatkan masa perjalanan penduduk selain tidak perlu berhadapan dengan kesesakan lalu lintas.
“Hal ini juga mampu mengurangkan kemalangan jalan raya selain dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat terutama golongan muda. Selain itu ‘transit oriented development’ (TOD) juga akan berlaku dengan pesat termasuk pembinaan pusat perniagaan dan kompleks beli-belah.
“Projek yang menggunakan slogan ‘Menyatu Kehidupan, Memacu Pertumbuhan’ ini juga dapat melonjakkan lagi pembangunan pusat bandar yang sedia ada selain menjana pertumbuhan bandar-bandar baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek ECRL yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di KotaSas di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri China Wang Yang, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata paling membanggakan apabila projek yang bermula dari Gombak hingga Kota Bharu itu mendapat sokongan lebih 95 peratus daripada 170,000 responden hasil kaji selidik yang dijalankan selama tiga bulan.
Selain projek mega yang dibina oleh syarikat kontraktor ketiga terkemuka dunia itu Communication Construction Company Ltd (CCC) itu juga telah mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), oleh Jabatan Alam Sekitar pada 20 Jun lalu.
Sementara itu dalam sidang media yang diadakan selepas itu, Irwan Serigar berkata projek ini juga akan melibatkan pembinaan terowong sepanjang 49 kilometer di 19 lokasi dari Pelabuhan Klang, Selangor ke Tumpat, Kelantan.
“Terowong paling panjang dibina melibatkan laluan antara Bentong sehingga Gombak sepanjang 17.8 kilometer merentasi banjaran Titiwangsa dan ia merupakan terowong paling panjang di Asia Tenggara,” katanya.
Kerjaa mengorek terowong berkenaan akan menggunakan teknologi terkini Tunnel Boring Machine (TBM) selain teknik Drill and Blast bagi mempercepatkan proses berkenaan.
Beliau menjelaskan kerja-kerja itu akan dimulakan pada hujung tahun ini dan kesemua pengorekan itu disasar akan mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.
Dalam masa yang sama, katanya, pihak kontraktor juga dijangka akan membina jambatan sepanjang 88.8 kilometer di beberapa laluan yang berisiko banjir terutama di Terengganu dan Kelantan.
Semua proses pengambilalihan tanah juga sudah bermula pada Jun lepas dan dijangka akan selesai dalam tempoh enam bulan lagi. – BERNAMA