Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Bank Dunia: Pertumbuhan Ekonomi...

KUALA LUMPUR - Malaysia masih menikmati pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan mempunyai ekonomi...

2 Bayi Antara 9...

JOHOR BAHRU - Dua bayi berusia sembilan bulan antara sembilan kanak-kanak di daerah...

Tak Menyepi Cuma Banyak...

AKTOR kacak dan tinggi lampai, Idris Khan seolah-olah menyepi dari industri hiburan tempatan...

Jawatan PM: Mahathir Tidak...

KUALA LUMPUR - Seorang ahli politik veteran hari ini menggambarkan Dr. Mahathir Mohamad...

Erti Kemerdekaan Buat Seorang Peneroka

KUALA BERANG – Kemajuan besar yang dicapai Malaysia hari ini dapat dilihat bila kita soroti kemunduran hidup rakyat sebelum Merdeka pada 1957.

Realiti kedaifan dan kesukaran hidup rakyat terutama orang Melayu pada zaman itu cukup ketara.

Bernama menemubual seorang peneroka Felda, Mohammad Chik, 73, untuk menyelami perasaan beliau tentang apa ertinya kemiskinan dan kemerdekaan.

Beliau lantas merujuk kepada sebuah filem lama Melayu yang cukup popular pada 1955, “Penarik Becha”.

Filem hitam putih itu yang memperlihatkan kemiskinan rakyat menghuni di rumah atap nipah yang rapuh di kampung-kampung Melayu, ditayangkan pada Oktober 1955, dan dilakonkan seniman legenda P. Ramlee, Salleh Kamil dan Saadiah.

Mohamad berkata filem tersebut sentiasa melekat dalam ingatannya kerana mengenangkan keperitan dan kesukaran ibu bapanya untuk mencari kerja dan memberikan anak-anak pelajaran.

“Filem itu memaparkan kisah cinta antara dua darjat… lelaki miskin dengan wanita kaya,” katanya.

Namun, filem tetap memfokus kepada kemiskinan hidup rakyat.

“Lihatlah keadaan sekeliling; rumah atap nipah yang hanya mampu menutup cahaya matahari adalah tempat tinggal kebanyakan orang Melayu, termasuk saya sendiri. “Apabila hujan turun, tiada tempat untuk berlindung, semua basah kuyup,” kata Mohammad.

“Zaman itu, ramai orang Melayu yang tidak mempunyai pelajaran dan bagi yang bukan golongan ‘ada-ada’, peluang kerja hanya sebagai orang gaji, tukang kebun ataupun nelayan,” katanya.

Mohammad berkata, ketika di sekolah rendah, guru pula hanya mampu mengajar perkara mudah dengan beberapa patah perkataan berulang-ulang hingga pelajar boleh menghafalnya.

“Paling saya ingat ialah perkataan ‘Ini Pasu’, ‘Ini Bunga’, Ini Cawan’ dan ‘Ini Baja’…berulang-ulang sampailah saya berusia sembilan tahun.

“Guru tidak ada beritahu tentang apa yang kita boleh lakukan selain daripada apa yang bapa kita biasa lakukan.

“Kalau ayah kita nelayan, maka kita akan jadi nelayan, kalau jual sayur… tak lama lagi nampaklah anak-anak pulak menjual sayur. Jangan ceritalah bab nak jadi cikgu atau doktor kerana kebanyakan budak kampung di zaman saya itu hanya belajar sekitar usia sembilan tahun sahaja, cukup sekadar pandai membaca,” katanya.

Namun bagi Mohammad, keperitan dalam mengejar ilmu bukan penghalang.


Beliau tekad menyertai kelas dewasa untuk belajar pelbagai perkara kerana pembelajaran sekolah rendahnya terhenti berikutan kesusahan hidup keluarga.

Setelah mendirikan rumah tangga di usia 20an, Mohammad menyertai Felda Bukit Bading, Ajil di sini sebagai peneroka.

Di situ timbul azam untuk beliau memberikan anak-anaknya pelajaran yang sempurna agar mereka menjadi warga yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Hasilnya, empat daripada enam anaknya menjadi warga pendidik.

Mengimbau kembali hari menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Mohammad yang kadang-kala kelihatan sebak, menceritakan saat-saat gurunya berpesan supaya ‘bersiap-siap’ agar menghadirikan diri awal di kawasan sekolah pada hari tersebut.

Tujuannya untuk berarak ke Padang Astaka, Besut, menyambut kemerdekaan Tanah Melayu.

Mohamad berkata macam tidak percaya menyaksikan peristiwa penting itu.

“Memang saya dan rakan-rakan ketika itu masih tidak tahu apa itu merdeka tetapi apabila tiba di padang saya lihat beribu-ribu orang membanjirinya dengan laungan Merdeka.

“Terasa jiwa bagai dihimpit sayu dan tekad yang tidak berbelah bahagi untuk mencapai kehidupan lebih selesa… sayu mengenang susahnya ibu bapa.

“Setahun ke setahun, saya dapat lihat perubahan ketara. Sistem pelajaran semakin berkembang dan paling jelas adalah pembangunan sekolah Melayu yang asalnya hanya di pondok beratap nipah tanpa dinding.

“Kini semua kemudahan tersedia…terlalu banyak yang dinikmati selepas merdeka,” katanya.

Pesan Mohammad, pertahankan apa yang ada dan terus perbaiki kedudukan orang Melayu dalam segala aspek terutama pendidikan jika tidak mahu mengulang sejarah ‘diperbodohkan’ penjajah. – BERNAMA

Kategori