SIAPA tidak kenal dengan Datuk Zulkeflie M. Osman, pengarah dan pelakon terkenal yang popular suatu ketika dahulu. Kini, anaknya, Falla Zully meneruskan legasinya dalam dunia hiburan tanah air.
Falla Zully atau nama sebenarnya Puteri Nur Farra menceburkan diri dalam dunia hiburan melalui single pertamanya yang bertajuk Aku Ada Kamu sebagai pembukaan permulaan kariernya dalam bidang seni ini.
Lagu Aku Ada Kamu ini dihasilkan oleh komposer Reyza Hamizan dan liriknya ditulis oleh Aiyad Sakti.
Anak kedua Datuk Zulkiflie M. Osman ini juga yakin yang single pertamanya ini bakal diterima baik oleh semua pihak terutamanya pendengar muzik tempatan.
“Ia mengangkat tema biasa iaitu percintaan namun ia bukan sahaja tentang kisah hubungan lelaki dan perempuan sebaliknya merangkumi semua aspek termasuk kepada Tuhan,” katanya, memetik sebuah portal online.
Gadis yang berusia 21 tahun ini mendapat sokongan padu daripada bapanya yang mahu melihat dia berjaya dalam bidang ini.
Falla turut menyatakan yang minatnya terhadap muzik bermula dari bangku sekolah lagi dan bercita-cita untuk bergelar penyanyi.
“Minat menyanyi memang sejak sekolah malah saya pernah memenangi pertandingan Clash of Music yang dianjurkan oleh Bentley Music dan penglibatan dalam bidang nyanyian juga dapat sokongan daripada keluarga,” katanya lagi.
Gadis ini juga mengakui ini bukanlah penglibatan pertamanya dalam bidang seni kerana sebelum ini dia sudah berjinak-jinak menjadi pelakon iklan komersial sejak berumur 14 tahun lagi.
“Saya pernah muncul untuk iklan seperti Coca Cola, TNB, Fisherman’s Friends, DIGI, Mentos, dari sejak awal tahun 2010 lagi.
“Malah saya juga mendapat kepercayaan untuk menjadi duta beberapa jenama,” tambahnya lagi.
Kepada pendengar muzik tempatan, lagu Aku Ada Kamu ini sudah boleh dimuat turun di iTunes, Apple Music, Spotify dan lain-lain lagi sejak 1 Ogos lalu. Jadi, mari sama-sama kita support pendatang baru ini! – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim