LENGGONG – Felcra Berhad telah mengambil langkah kawalan sewajarnya bagi mengekang serangan ulat bungkus di ladang kelapa sawit di Felcra Seberang Perak daripada merebak ke kawasan lain.
Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Perak Hassan Khamis berkata antara langkah kawalan yang dilaksanakan ialah menerusi kaedah meracun melalui suntikan batang serta menyembur racun perosak menggunakan pesawat ringan jenis ‘gyrocopter’ bagi menyekat penularan serangga berkenaan.
Katanya terdapat kira-kira 220,000 pokok kelapa sawit melibatkan 1,500 hektar kawasan ladang di Felcra Seberang Perak diserang ulat bungkus, namun keadaan masih terkawal.
“Sehingga kini, ladang kelapa sawit milik Felcra tidak lagi terjejas dengan serangan ulat bungkus ini, hanya di Felcra Seberang Perak sahaja,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Felcra Berhad Wilayah Perak yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohamad.
Hassan berkata penyebaran melalui angin menyebabkan serangga itu mudah menyerang setiap pokok dan membiak dengan jumlah yang banyak dalam tempoh singkat.
“Ulat bungkus ini akan memakan daun kelapa sawit. Walaupun saiznya kecil namun ulat bungkus mampu merosakkan keseluruhan pelepah sawit dan menyebabkan daun menjadi kering.
“Serangan ulat bungkus ini akan menjejaskan pengeluaran buah sawit sekali gus pendapatan peserta turut terjejas,” katanya.
Beliau berkata Felcra Seberang Perak mempunyai 7,000 hektar ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh kira-kira 1,000 peserta. – BERNAMA