FILEM televisyen (FTV) #TerobekRaya yang sudah disiarkan mulai semalam merupakan buah tangan pertama hasil terbitan Johan Raja Lawak.
Khabarnya, naskhah ini berjaya direalisasikan selepas ideanya terperap selama dua tahun. Johan yang merupakan pelawak, penyampai radio, pelakon dan pengacara baru berjinak-jinak menceburkan diri dalam bidang ini.
Ini termasuk penerbitan drama dan telefilem meskipun syarikat penerbitan JWH Production miliknya bersama dengan isteri sudah beroperasi sejak tahun 2009.
Dengar-dengarnya idea #TerobekRaya merupakan salah satu hajat Johan untuk menerbitkan program komedi bersama keluarga dan teman-teman rapatnya.
“Saya selesa bekerja dengan barisan pelakon yang juga teman rapat, ini memudahkan kerja. Kami menjalani penggambaran selama seminggu.
“Cuma proses suntingan yang mengambil masa dua bulan. Jika diikutkan, banyak yang ingin diselitkan tetapi kita perlu ikut tempoh 90 minit itu,” katanya dipetik laporan BH Online.
Program yang berdurasi selama 90 minit ini menampilkan dirinya bersama isteri, Ozlynn, Tauke Jambu, Ani Mayuni, Riz Amin, Marsha, Beto Kusyairi, Azhan Rani, Zizan Nin dan ramai lagi.
Program lawak tanpa skrip ini akan mengimbau kembali suasana berpuasa, menyambut hari raya, pikat memikat, amalan bertandang dan meminang serta banyak lagi perkara-perkara yang dilalui dari era 1970-an hingga 1990-an.
Johan mengakui dia menceburkan diri dalam bidang penerbitan untuk mengembangkan lagi kariernya selain untuk keluarganya dan bukanlah bersifat tamak.
“Ini cabang baharu untuk saya teruskan dan bekerja lebih keras demi keluarga. Saya tidak anggap permulaan bidang penerbitan drama atau telefilem ini sebagai langkah awal untuk bersara.
“Sebaliknya ini merupakan penambahan kepada karier saya,” katanya yang dipetik laporan Astro Gempak.
Walau bagaimanapun, Johan tidak menolak jika menerima tawaran bekerja dengan orang baharu dan juga dari produksi lain.
Filem televisyen #TerobekRaya ini boleh disaksikan di Astro First Eksklusif dan platform digital On Demand. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim