KHABAR angin yang bertiup kencang mengenai status rumah tangga Hafiz Hamidun dan Joy Revfa yang dikatakan sedang bergolak bakal diperjelaskan oleh penyanyi itu dalam masa terdekat ini.
Dalam pada itu, Hafiz meminta semua pihak untuk memberi masa untuknya bagi menjelaskan mengenai situasi sebenar perkahwinan yang baru tiga bulan dibina dengan isterinya, yang juga seorang pengasas produk kosmetik.
Hafiz, 33, turut meminta rakan media agar bersabar sementara dia mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Saya minta semua pihak bersabar kerana satu kenyataan rasmi akan saya buat mengenai hal ini,” ujar Hafiz.
Baca: Rumah Tangga Hafiz Hamidun – Joy Revfa Goyah?
Enggan mengulas lanjut mengenai isu itu, Hafiz berharap segala persoalan pihak media akan terjawab semasa sidang akhbar yang bakal diadakan itu nanti.
Rumah tangga Hafiz dan Joy Revfa atau nama sebenar Siti Arifah Mohd Amin, 30, dikatakan sedang bergolak apabila isterinya itu sering seakan-akan memberi bayangan mengenai masalah rumah tangga mereka menerusi kapsyen yang ditulis di laman Instagram miliknya.
Kedua-dua pasangan berkenaan juga dikatakan tidak lagi berkongsi gambar-gambar mereka di laman sosial masing-masing.
Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam, Selangor pada 1 Mei lalu dengan sekali lafaz.
Joy Revfa mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun hasil perkahwinan pertamanya dahulu. – MYNEWSHUB.CC