KUALA LUMPUR – Perenang berirama negara, Gan Hua Wei mencipta kejutan apabila meraih emas dalam acara rutin teknikal solo di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, malam ini.
Hua Wei, 18, mengutip 73.8386 mata, 0.1333 mata di hadapan pemenang pingat emas acara rutin bebas solo, Debbie Soh Li Fei dari Singapura.
Gangsa dimenangi seorang lagi perenang Singapura, Miya Yong Hsing yang mengumpul 72.3769 mata.
Dalam pada itu, kakaknya, Gan Zhen Yu pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan 70.0292 mata.
Ini merupakan penampilan kedua Hua Wei di temasya dwitahunan, yang mana penampilan di Singapura, beliau meraih pingat dua perak menerusi acara berpasukan iaitu teknikal berpasukan dan berpasukan bebas. – BERNAMA