KUALA LUMPUR – Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) mencadangkan kepada kerajaan supaya menguatkuasakan lesen penjualan rokok di negara ini.
Setiausaha Kehormatnya, Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, langkah itu bertujuan mengawal penjualan rokok dan membanteras penjualan rokok seludup dengan lebih berkesan.
“Hanya mereka yang berlesen sahaja boleh menjual rokok dengan syarat tertentu seperti tidak menjual secara terbuka di kaunter dan mengasingkan meja makan untuk perokok.
“Jika ia tidak dapat patuh, dicadangkan agar rokok ini hanya boleh dijual di ‘Kedai Rokok’ sahaja, bukan lagi di restoran-restoran dan kedai kopi.
“Premis-premis ini sepatutnya menjadi tempat untuk makan yang selesa bukan terancam kesihatan kerana menyedut asap rokok,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Mohd. Afiq dalam pada itu musykil ada pihak mencadangkan supaya kerajaan membenarkan semula penjualan rokok kotak kecil di negara ini.
Menurut beliau, kerajaan perlu bersikap tegas dan berpegang kepada akta kawalan tembakau sedia ada serta tidak mudah termakan lobi pihak tertentu untuk memperkenalkan semula ‘kiddie pack’.
“IKRAM Health juga menyeru agar semua pihak supaya turut sama-sama membantah penjualan semula ‘kiddie pack’ ini ke dalam pasaran Malaysia.
“Bantahan ini penting untuk menyelamatkan generasi anak-anak muda kita daripada sekali lagi mudah terjajah dengan tabiat merokok,” katanya. – MYNEWSHUB.CC