KUALA LUMPUR – Peninju Malaysia RK Indran mara ke separuh akhir bagi kategori middleweight (75kg) dalam misi meraih emas buat skuad tinju negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Indran yang pertama kali beraksi di Sukan SEA menewaskan Henrique Martins Pereira dari Timor Leste, dan akan bertemu peninju Filipina Eumir Fellix Marcial pada Selasa ini.
Indran yang ditemui pemberita selepas pusingan suku akhir berkata, kehadiran ibu bapa dan ahli keluarganya dari Taiping membakar semangatnya untuk menang hari ini.
“Selain sokongan keluarga, saya hanya praktikkan segala yang saya pelajari daripada jurulatih di gelanggang itu,” kata anak didik Azmi Md Yunus itu.
Bagaimanapun, dua lagi wakil negara Arfique Ahmad Anshori dan Abdul Salam Kasim tewas kepada lawan masing-masing pada perlawanan kalah mati, semalam.
Arfique tewas dengan kiraan mata 0-4 kepada wakil Thailand, Chatchai Butdee dalam kategori Bantamweight (56kg), manakala Abdul Salam ditundukkan peserta Filipina Ian Clark Bautista dengan kiraan mata 0-5 dalam kategori flyweight (52kg).
Walaupun tewas, Arfique berasa bangga kerana dapat bersaing dengan idolanya, Chatchai yang pernah bersaing dalam Sukan Olimpik dan memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia 2013.
Arfique juga mengakui ada jurang besar antara dirinya dan peninju lawan.
“Dia (Chatchai) antara idola saya, namun saya cuba atasi dia dan saya sudah buat semua yang jurulatih ajar tetapi saya tetap tidak boleh kalahkan dia. Saya sudah ubah cara pertarungan tetapi dia ada banyak idea lain,” katanya. – BERNAMA