JOHOR BAHRU – Pelanggaran kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) USS John S McCain dengan sebuah kapal dagang di perairan Teluk Ramunia dekat sini awal pagi tadi, tidak melibatkan mana-mana nelayan tempatan di sekitarnya.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata ini berikutan kawasan kejadian bukan lokasi tangkapan ikan nelayan.
“Kawasan kejadian itu dikenali sebagai ‘Tompok Utara’ dan ia tidak sesuai untuk aktiviti nelayan kerana angin dan ombaknya bertiup kencang dan tinggi.
“Jadi, pelanggaran itu tidak melibatkan mana-mana nelayan kerana mereka tidak berada di lokasi kejadian,” katanya yang dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, persatuan itu ketika ini mempunyai lebih daripada 350 nelayan dan mereka sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
USS John S McCain dilaporkan berlanggar dengan kapal dagang Alnic MC yang didaftarkan di Liberia, kira-kira 5.40 pagi menyebabkan lima anak kapalnya cedera manakala 10 orang lagi jatuh ke dalam laut dan hilang.
Menurut Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), Singapura mengetuai operasi mencari dan menyelamat serta agensi-agensi Singapura yang berkaitan memberi bantuan sebaik mungkin.
Malaysia pula telah menghantar empat kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membantu kapal-kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa yang hilang.
Aset-aset itu adalah Kapal Diraja (KD) Handalan, KD Gempita, KD Lekiu, CB90 dan sebuah helikopter Super Lynx. Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut terlibat. – BERNAMA