ATLET negara, Mohd. Irfan ShamSuddin mempertahankan emas acara lempar cakera selepas raih catatan tertinggi, 58.36 meter dalam Sukan SEA Ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Untuk rekod, catatan itu adalah lebih baik berbanding pingat emas yang pernah dimenanginya ketika temasya di Singapura dua tahun lalu iaitu 56.62m.
Sementara itu, dalam Sukan SEA 2013 di Naypyidaw, Myanmar, Irfan juga meraih emas selepas melakukan lemparan sejauh 53.16m.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang datang menyokong. Saya berasa bersyukur kerana berjaya mempertahankan emas.
“Tetapi, sayangnya saya tidak dapat memecahkan sebarang rekod. Secara jujurnya, lima hari sebelum hari pertandingan, pergelangan kaki saya terseliuh,” kata Ifran yang juga pemegang rekod kebangsaan, 61.10m.
“Saya tidak mahu menghebohkannya. Begitupun, saya tetap cuba memberikan yang terbaik. Ada hikmah apa yang terjadi.”
Ia adalah emas pertama ditawarkan dalam sukan olahraga KL2017, dengan hanya tiga peserta mengambil bahagian bagi acara lempar cakera termasuk seorang lagi atlet negara, Abdul Rahman Lee.
Pingat perak dimenangi peserta Thailand, Narong Benjaroon (50.65 mata) dan gangsa dimenangi Rahman (44.80 mata). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA