SHAH ALAM – Pakatan pembangkang patut ‘malu sendiri’ apabila ternyata kekecohan dalam forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad lalu didalangi oleh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Ia malahan langsung bukannya ada campur tangan pihak luar atau tangan ghaib lain termasuklah arahan tertentu dari mana-mana pemimpin atasan UMNO sekali pun sebagai mana tohmahan jahat ditularkan mereka sendiri.
Hal ini bahkan telah diakui oleh Pengarah Keselamatan PPBM Parlimen Shah Alam, Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin yang mengaku bahawa kekecohan dalam program itu memang didalangi oleh anggota parti itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau semalam tampil secara terbuka meminta pihak polis agar dapat menyiasat lebih terperinci insiden kekecohan tersebut dan lebih dahsyat ada ugutan bunuh terhadap dirinya pula selepas kes berkenaan.
“Laporan (polis) pertama ada saya buat, sebab saya mahu polis siasat insiden ini kerana apabila kita teliti video dirakam dalam forum tersebut, kejadian balingan kerusi yang mula itu sebenarnya ditujukan tepat ke arah saya.
“Ia bukan kepada Pengerusi PPBM (Tun Dr. Mahathir Mohamad). Saya syak mereka yang terlibat itu terdiri daripada pihak penganjur, urusetia serta beberapa anggota PPBM sendiri. Insiden itu memang jelas sengaja diwujudkan.
“Ia supaya dapat menghalang saya pula daripada bertanyakan beberapa soalan kepada Mahathir selepas isu Memali disoal (oleh individu lain iaitu Exco Armada PPBM sendiri, Mohamad Taufik Abas),” kata Wan Mohammad Ashraf.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini, semalam. Sebelum ini, netizen pembangkang membuat fitnah apabila mengaitkan UMNO dengan kejadian terbabit.
Malah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengeluarkan kenyataan mendakwa konon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan gengsterisme untuk menutup mulut Mahathir.
Menteri Besar Selangor itu dengan angkuh mendakwa, kekecohan pada forum berkenaan timbul setelah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional tersebut takut berhujah dengan Mahathir dan dianggap tindakan pengecut.
Mengulas lanjut, Wan Mohammad Ashraf mengakui bahawa kekecohan itu didalangi anggota PPBM sendiri, dan beliau turut menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali menerusi laman sosial Facebook PPBM.
“Ugutan bunuh tersebut turut mengaitkan keluarga dan atas sebab keselamatan saya terpaksa membuat laporan polis supaya tindakan susulan diambil. Saya dapat ugutan bunuh itu pada malam kejadian kekecohan itu berlaku.
“Ia disebabkan perkara itu masih berlarutan sehingga ke hari ini jadi saya terpaksa buat laporan polis untuk tujuan keselamatan dan ugutan bunuh itu juga dilihat mencabar kewibawaan saya kerana melibatkan keluarga,” katanya.
Wan Mohammad Ashraf dalam pada itu turut mendesak Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar segera meletak jawatan berikutan didakwa gagal memastikan keselamatan tetamu penting di forum tersebut.
“Saya sendiri sanggup duduk dalam parti ini dan menentang dia sehingga dia meletakkan jawatan,” tambahnya. Kekecohan yang tercetus kira-kira 5.10 petang, Ahad lepas itu bermula selepas ada peserta forum tidak berpuas hati.
Ia ekoran jawapan Mahathir berhubung peristiwa berdarah Memali sebelum secara tiba-tiba ada individu baling kerusi, kasut dan botol air sebelum melemparkan suar dalam dewan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA