GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membelanjakan RM60 juta bagi menyediakan pelbagai kursus kemahiran menerusi Program Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) kepada lebih 4,000 remaja Orang Asli di seluruh negara sejak tujuh tahun lepas.
Ketua Pengarahnya Mohd Jamalludin Kasbi berkata pada tahun ini, 2,000 peserta berpeluang mengikuti kursus itu yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta.
“Sebanyak 51 bidang kemahiran ditawarkan oleh 16 syarikat mengendali kursus kemahiran berkenaan kepada peserta secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Roadshow PLKK Fasa 2 di Pos Brooke di sini, hari ini.
Beliau berkata Jakoa menanggung sepenuhnya kos pelaksanaan program itu termasuk makan dan tempat penginapan serta elaun sebanyak RM150 kepada setiap peserta.
“Kita melakukan jerayawara ini juga untuk menarik lebih ramai belia Orang Asli mengikuti kursus kemahiran itu,” katanya.
Mohd Jamalludin berkata kursus kemahiran itu bagi memberi peluang kepada golongan muda masyarakat tersebut mendapat pekerjaan yang terbaik dan setakat ini tiada peserta yang gagal mendapatkan pekerjaan.
“(Kursus) adalah peluang terbaik untuk mereka mendapat pekerjaan dan tidak perlu bergantung kepada sumber pendapatan daripada hasil hutan,” katanya.
“Kita harap anak muda Orang Asli yang tidak faham dengan perkara itu supaya datang ke program jerayawara terbabit bagi mendapat penjelasan daripada wakil syarikat mengendalikan kursus kemahiran PLKK,” katanya. – BERNAMA