IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata mukim Matang dalam daerah Larut Matang dan Selama (LMS) diwartakan sebagai kawasan rabies selepas dinasihati oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, bukan dibuat sesuka hati.
Oleh itu beliau meminta agar perkara berkenaan tidak dipolitikkan kerana keputusan untuk mewartakan kawasan tersebut kawasan rabies adalah demi kepentingan penduduk dan segala tindakan yang diambil mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
“Keadaan ini bukan seperti buka (kedai) atau tutup kedai sebaliknya ia berkaitan dengan penyakit, jadi jangan ambil mudah perkara itu.
“Saya nasihatkan kepada semua pihak supaya bersabar sehingga kita mendapat maklum balas daripada mereka yang pakar,”katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jasamu Dikenang Tahun 2017 di sini, hari ini.
Mukim Matang dalam daerah LMS diwartakan sebagai kawasan penyakit anjing gila berkuat kuasa 17 Julai lepas setelah seekor anjing mati pada 12 Julai akibat rabies, sembilan hari selepas menggigit dua kanak-kanak perempuan. – BERNAMA