SUBANG JAYA – Aktres, Janna Nick diumumkan sebagai duta PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan ‘Ceria Sepanjang Jalan’ diadakan di Persada PLUS, di sini.
Pemilihan Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner bertepatan dengan hasrat PLUS untuk menggunakan selebriti terkenal bagi membantu menyampaikan mesej-mesej keselamatan jalan raya kepada orang ramai.
Dengan kekuatan pengaruh Janna dalam industri hiburan pada masa ini, pihak konsesi lebuh raya utama tersebut yakin mesej berkenaan dapat disampaikan kepada pengguna dengan berkesan terutamanya melalui media sosial.
Menurut Janna, sebagai pengguna lebuh raya tersebut, dia berasa bangga apabila diberi peluang untuk menjadi duta serta bekerjasama dengan pihak PLUS untuk membantu meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya.
“Saya bergembira dan turut bangga kerana diberi peluang untuk bergelar duta kepada PLUS. Saya sendiri pun merupakan pengguna PLUS terutama terutama ketika pelru pulang ke kampung di Sungai Petani, Kedah.
“Jadi pelantikan ini merupakan tawaran yang tidak mungkin saya tolak. Sebagai duta, saya bukan sahaja akan mempromosikan produk PLUS tetapi dalam masa sama ia turut merangkumi kempen-kempen keselamatan.
“Malah ia turut meliputi segala perkhidmatan yang mereka sediakan,” kata aktres drama Suami Tanpa Cinta itu. Janna mengikat kontrak sebagai duta PLUS selama setahun bermula Julai lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA