SATU video yang berdurasi 2 minit 36 saat menjadi tular dalam kalangan warga Facebook apabila video yang dimuat naik minggu lalu itu telah berjaya mendapat 8.3 juta tontonan.
Video berkenaan menunjukkan seorang lelaki yang gayanya ala penyanyi reggae Bob Marley sedang mengimamkan jemaah di sebuah surau di Hotel Bidakara, Jakarta Selatan, Indonesia.
Dalam video tersebut, Cupink Topan atau nama sebenarnya Sofyan Alop mengalunkan ayat suci Al-Quran dengan merdu walaupun berpenampilan agak tidak terurus.
Setelah diselidik rupa-rupanya Cupink merupakan seorang pelakon aksi terkenal di negara seberang itu.
Pemuda yang merupakan anak kelahiran Tidore, Maluku Utara ini pernah membintangi filem box-office, The Raid: Redemption yang ditayangkan pada 2011.
Dia terpilih berlakon dalam naskhah tersebut disebabkan penampilannya yang selekeh dan tidak terurus sekali gus menarik minat produksi untuk menyuntingnya.
Dalam filem tersebut, Cupink membawakan watak sebagai salah seorang anggota Machete Gang.
Siapa sangka pemuda yang kelihatan ‘busuk’ dan tidak terurus ini sangat menjaga solatnya malah turut mempunyai suara merdu yang boleh memukau sesiapa sahaja yang mendengarnya. – MYNEWSHUB.CC / Aisyah Karim