KUALA LUMPUR – Phee Jinq En ialah antara perenang Malaysia yang melayakkan diri ke final acara renang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas sesi saringan pagi ini.
Jinq En mencatatkan 1 minit 10.41 saat untuk menduduki tempat pertama daripada keseluruhaan 10 perenang dalam saringan 100m kuak dada wanita.
Seorang lagi perenang Malaysia Erika Kong Chia Chia turut mara ke final selepas merekodkan 1:12.08s untuk menduduki tempat kelima keseluruhan di Pusat Akuantik Nasional di Bukit Jalil.
Dalam acara 200m rampaian individu wanita, Nadia Adrianna Redza dengan catatan masa 2:26.20s melayakkan diri selepas menduduki tempat ke-8 manakala Angela Chieng Chui Fei akan beraksi pada final 800m gaya bebas wanita.
Final acara renang akan berlangsung malam ini.
Dalam saringan 200m rampaian individu lelaki, Lim Ching Hwang membuat penyudah di tempat kedua dengan masa 2:06.82s untuk menempah tiket ke final.
Tern Jian Han turut mara ke final 100m kuak lentang lelaki selepas merekodkan masa 1:01.00s untuk menduduki tempat ke-7 dalam saringan.
Kerth Lim Kit Sern akan berentap dengan bintang renang Singapura Joseph Schooling dalam final 100m gaya bebas lelaki.
Kerth merekodkan masa 51.30s untuk menduduki tempat keempat manakala Schooling mencatatkan masa terpantas 49.58s dalam peringkat saringan.
Sementara itu, kuartet lelaki negara akan beraksi dalam final 4x200m gaya bebas berganti-ganti. – BERNAMA