SIAPA yang tidak kenal dengan nama Johan As’ari? Sebut sahaja nama dia, mesti ramai yang membayangkan watak Botak yang dibawanya dalam filem Juvana.
Jika anda salah seorang followers Instagramnya, pasti anda tahu Johan selalu memuat naik video dia bermain gitar dan video mengajinya.
Menurutnya, dia tidak segan untuk berkongsi video mengaji Al-Quran itu bersama pegikutnya disamping dapat menarik minat gologan muda di luar sana untuk melakukan aktiviti sama.
“Saya suka, malah sudah biasa mengaji sejak sekian lama.
“Saya juga suka berkongsi bacaan al-Quran dengan semua orang kerana pahala mereka yang mendengar sama saja dengan pahala orang yang membacanya.
“Pada masa sama, saya tidak berasa adanya halangan untuk berkongsi kerana kesalahan yang tidak disengajakan dalam bacaan adalah dosa kecil,” katanya memetik laporan BH Online.
Meskipun mengakui kadang kala wujud kesilapan kecil dari segi bacaannya, dia turut menasihati peminatnya yang beragama Islam supaya bersama-sama mengaji kerana dapat menenangkan hati.
“Rajin-rajinlah mengaji al-Quran agar hati sentiasa tenang. Hati yang tenang pula memudahkan kita untuk melepaskan segala perkara keduniaan yang bersifat sementara,” tambahnya.
Johan yang popular dengan hashtag #niatbelajar di hampir setiap postingnya turut menyeru masyarakat supaya kuatkan hati dengan agama meskipun kita hidup dalam zaman moden.
Menyentuh mengenai kariernya pula, Johan bakal tampil dalam filem Tujuh, arahan Raja Mukhriz yang bakal ditayangkan pada akhir tahun ini.
Kini, Johan dalam pengambaran drama berjudul Jurnal Suraya. Drama 13 episod arahan Zul Huzaimy ini turut menggandingkannya bersama Nad Zainal sebagai teraju utama naskhah itu. Dengarnya drama ini bakal menemui penonton pada bulan ini. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim