PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menganjurkan Hari Perhimpunan 1Pesara Malaysia pada 15 dan 16 Ogos ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor.
JPA berkata antara aktiviti pada program yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri D. Ahmad Zahid Hamidi itu ialah seminar dan diskusi persediaan persaraan, pameran kementerian, agensi kerajaan serta swasta; saringan kesihatan dan perkhidmatan klinik bergerak dan padanan kerjaya kepada pesara.
“Semua pesara dan bakal pesara sektor awam serta orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JPA, 1Pesara atau 1Malaysia Civil Service Retirement Support merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantu golongan pesara dan bakal pesara supaya terus produktif dalam menyusuri alam persaraan.
Inisiatif itu penting bagi memastikan kelangsungan sumbangan serta produktiviti mereka kepada masyarakat dan negara selain memberikan pelbagai faedah kepada pesara khususnya dari segi kebajikan dan kesejahteraan, kesihatan, pengurusan kewangan serta kerjaya selaras dengan tema program “Pesara Aktif, Negara Sejahtera”, kata JPA. – BERNAMA