SEBUAH kedai nasi ayam popular di Melaka, Ee Ji Ban Chicken Rice Ball menerima cemuhan daripada netizen selepas majikannya dipercayai melempang pekerja di hadapan pelanggan yang sedang menjamu selera di kedai itu, baru-baru ini.
Insiden itu dikongsikan seorang netizen di laman Twitternya, @timlspbo mendakwa dia melihat sendiri kejadian itu yang berlaku di hadapan matanya sendiri.
āDia menangis la b*** sambil kemas meja! Depan meja aku pulak tu. Tau la dia Indon! Pastu mcm slow sikit! Tk payah amik advantage (kesempatan) mcm tu k**!ā tulisnya.
Pengguna Twitter itu turut memuat naik gambar majikan tersebut selain mendakwa pekerja itu ditampar kerana baldi yang dibawa terkena pelanggan sekali gus menimbulkan kemarahan majikannya.
Susulan insiden itu, netizen mencemuh tindakan biadap majikan itu selain ada yang mahu memboikot kedai tersebut yang turut menjadi antara restoran wajib dilawati jika berkunjung ke Melaka.
Dalam setiap cerita, kita perlu mendengar daripada kedua-dua belah pihak, jadi susulan itu, pemilik kedai nasi ayam tersebut, Lawrence Sio Chih Chien tampil menafikan dakwaan dia memukul pekerjanya.
“Saya hanya menegur pekerja itu dengan melambaikan tangan di hadapan mukanya dan mengarahkannya untuk fokus bekerja.
“Saya memang tegas dengan pekerja tetapi tidak sampai mahu melempang atau mencederakan pekerja,” katanya memetik laporan portal Malaysia Outlook.
Lawrence juga turut menambah, stafnya itu bukanlah warga Indonesia seperti mana ditulis pengguna Twitter tersebut, sebaliknya pekerjanya itu adalah rakyat Malaysia yang sudah dijaga oleh Lawrence sejak pekerja itu berusia 15 tahun.
Berikutan tularnya status Twitter tersebut, Lawrence menyatakan perasaan kesalnya dengan tindakan individu tersebut yang menjadikan perkara itu tular sebelum mendapatkan penjelasan sebenar daripadanya.
“Ini adalah sesuatu yang baru untuk saya dan memberi pengajaran untuk lebih berhati-hati dengan perkembangan semasa seperti trend di laman sosial ini.
“Saya percaya ini akan memberi kesan kepada perniagaan namun yakin dengan kualiti makanan yang disediakan, perniagaan ini akan terus bertahan,” ujarnya lagi yang tidak berhasarat untuk mengambil tindakan poils susulan isu viral itu.
Ee Ji Ban Chicken Rice Ball merupakan antara lokasi kedai makan yang wajib dikunjungi sekiranya anda bercuti di Melaka.
Ia mendapat perhatian berikutan cara penyediaan nasinya yang dikepal menyerupai bebola sehingga menarik perhatian kebanyakan pencinta makanan untuk mencubanya sehingga ia menjadi viral sejak beberapa tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC