Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

Isu Larang Anggota Exco...

IPOH - Anggota exco kerajaan negeri Perak, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata...

Kampus UPSI Cawangan Teluk...

TELUK INTAN - Bandar Teluk Intan akan mempunyai kampus cawangan Universiti Pendidikan Sultan...

Arab Saudi Haram Rakam...

JEDDAH - Kementerian Pendidikan Arab Saudi mengharamkan semua guru, pegawai pentadbiran, ibu bapa...

Selepas Che Ta, Vellfire...

KETIKA satu Malaysia kecoh dengan berita kehilangan kereta Vellfire pelakon Rozita Che Wan hilang,...

Kejutan Nur Dhabitah Nyalakan Obor KL2017

KUALA LUMPUR – Nur Dhabitah Sabri yang genit dan periang adalah “kejutan” yang dirahsiakan dan ditunggu-tunggu apabila muncul dalam aksi penuh dramatik “diterbangkan” untuk menyalakan obor kawah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada upacara pembukaan rasmi temasya dwitahunan itu, malam tadi.

Tatkala negara menanti dengan penuh tanda tanya siapa yang menjadi “pilihan” untuk melaksanakan tugas istimewa itu, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2014 itu terbang menuju ke kawah berwarna keemasan itu untuk menyalakan obor kawah.

Dikatakan menjadi atlet wanita pertama negara dipilih menyalakan obor kawah dalam sejarah enam Sukan SEA yang dianjurkan Malaysia sejak 1965, penerjun berusia 18 tahun itu dipilih bagi melambangkan masa depan sukan Malaysia.

Atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri menyalakan obor ketika majlis perasmian pembukaan Sukan SEA KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. – Foto Berita Harian.

Nur Dhabitah, anak kelahiran Kuala Lumpur yang memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform berirama di Glasgow, turut memenangi dua pingat emas, masing-masing di Sukan SEA Myanmar 2013 dan Sukan SEA Singapura 2015.

Kawah itu kelihatan bagaikan “gergasi” di samping penerjun dengan ketinggian 1.52 meter itu, namun 84,000 penonton di stadium bersorak sebaik sahaja penerjun negara itu menyalakan obor kawah, jelas menunjukkan seluruh negara berbangga dengan bintang terjun negara itu.

Semangat perpaduan dipaparkan pada rekaan kawah itu, yang diinspirasikan daripada pelita minyak tanah tradisional Melayu yang digunakan untuk menyambut tetamu semasa kenduri-kendara.

Kawah itu mempunyai lima ruji dan tertera tulisan Rukun Negara dan berwarna keemasan sebagai simbolik memuliakan monarki Malaysia dan juga melambangkan anugerah tertinggi pada temasya dwitahunan itu.

Motif tenunan pada kawah itu melambangkan kekuatan dalam kesepaduan dan sebagai simbolik bagi semua atlet dan pegawai untuk bangkit bersama-sama sebagai satu keluarga.

DATUK Ng Joo Ngan (tengah) membawa obor ditemani Md Shah Firdaus (kiri) sebelum bertukar kepada Minarwan Nawawi pada Majlis perasmian Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukti Jalil. – Foto Berita Harian.

Ia juga sebagai pengiktirafan terhadap keindahan warisan kraf tradisional rakyat Malaysia untuk dikongsi dengan jiran-jirannya.

Terdahulu, nostalgia menyelubungi suasana dalam stadium apabila 18 ikon sukan termasuk Nur Dhabitah yang mewakili juara masa lalu, masa kini dan masa depan dengan penuh bangga berganti-ganti membawa obor KL2017.

Tradisi sekian lama itu bermula dengan kumpulan yang diketuai pemenang dua pingat emas acara tenpin boling Sukan Komanwel 1998, Kenny Ang muncul di “jambatan” dalam stadium itu dengan diiringi juara pertama Malaysia dalam Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA Muhammad Rafiq Ismail.

Saat penuh bersejarah itu diteruskan dengan Ang menyerahkan obor kepada pemenang pingat emas Sukan Asia Bangkok bagi acara berbasikal, Datuk Ng Joo Ngan yang diiringi pemenang tiga pingat emas Sukan SEA Fatehah Mustapha dan pemenang pingat gangsa Piala Dunia Muhammad Shah Firdaus Sahrom.


PEMBAWA Obor diketuai, Minarwan Nawawi yand ditemani Faisal Saari dan Hanis Onn sebelum ia tiba kepada atlet seterusnya pada Majlis perasmian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukti Jalil. – Foto Berita Harian.

Obor kemudian bertukar tangan kepada pemenang empat pingat emas Sukan SEA acara hoki Datuk Mirnawan Nawawi yang diiringi pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2010 Faizal Saari dan Pemain Harapan Asia 2016 Hanis Nadiah Onn.

Minarwan kemudian menyerahkan obor itu kepada pemenang lapan pingat emas Sukan SEA dalam acara lompat jauh dan lompat kijang, Mohd Zaki Sadri yang diiringi pemegang rekod kebangsaan dalam acara pecut 100m dan 200m Khairul Hafiz Jantan dan atlet lompat kijang ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia, R Kirthana.

Seterusnya Mohd Zaki menyerahkan obor kepada pemenang gangsa acara beregu badminton Sukan Olimpik Barcelona 1992, Datuk Razif Sidek yang diiringi pemenang pingat perak acara beregu campuran Sukan Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon dan bekas juara Remaja Dunia 2015, Goh Jin Wei.

Obor kemudian diserahkan kepada pemenang lima pingat emas Sukan SEA, Bryan Nickson Lomas yang kemudian menyerahkannya kepada ratu terjun Pandelela Rinong, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan pemenang enam pingat emas Sukan SEA.

Selepas itu Pandelela menyerahkan pula obor kepada Nur Dhabitah yang kemudiannya diterbangkan dengan penuh dramatik untuk menyalakan obor kawah Sukan SEA 2017.

Obor Sukan SEA itu kembali ke Malaysia selepas dibawa merentasi semua negara yang mengambil bahagian dalam edisi ke-29, menerusi program Larian Obor Bangkit Bersama Kuala Lumpur 2017.

Rakyat seluruh negara berbangga apabila 320 Jalur Gemilang, mewakili 32 juta rakyat Malaysia dikibarkan pada permulaan perbarisan kontinjen, diikuti 11 bendera kebangsaan negara peserta iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan Malaysia, bersama-sama bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan bendera temasya Sukan SEA.

Kontinjen Malaysia mengakhiri perbarisan selaku tuan rumah KL2017 dengan tiga juara dunia sebagai pembawa bendera iaitu juara dunia keirin ‘The Pocket Rocket Man’ Azizulhasni Awang, ratu terjun Cheong Jun Hoong yang juga juara terjun Kejohanan Dunia FINA di Budapest, Hungary serta juara silat dunia Mohd Al-Jufferi Jamari. – BERNAMA

Kategori