HASIL karya, pelakon serta sinematografi antara elemen yang dititikberatkan dalam sesebuah drama mahupun filem. Tetapi, jika salah satu saja yang ‘gempak’ seperti pembawakan watak oleh pelakon popular, mampukah karya itu menambat dan melekat di hati penonton?
Penerbit terkenal tanah air, David Teo memberi pendapat hasil karya lebih penting berbanding pelakon popular yang membawa watak di dalamnya. Ia kerana kekuatan drama atau pun sesebuah karya itu yang melahirkan bintang terkenal dan popular.
“Zaman sudah berubah dan pelakon tidak lagi menjadikan sesuatu drama fenomena atau mendapat rating tertinggi sebaliknya karya yang bagus akan mencipta bintang terkenal dan popular.
“Namun itu tidak bererti pelakon tidak penting sebaliknya elemen keseluruhan dalam penerbitan sesebuah drama sebenarnya kunci menjadikan ia fenomena,” katanya yang dipetik laporan mStar Online.
Ini bermakna, sesebuah karya termasuk adaptasi novel mampu memberikan impak yang besar kepada penonton selain pelakon-pelakon yang terlibat di dalamnya.
David yang ditemui mStar Online pada Malam Penghargaan Novelis Fajar Pakeer dan Penerbitan Dear Novels (PFPXDN) mengakui pihaknya lebih memfokuskan penghasilan drama yang baik kerana baginya menerusi drama yang baik dapat melonjakkan nama pelakon tersebut lebih-lebih lagi pelakon baharu yang ditampilkan.
“Menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer saya tampilkan Hannah Delisha yang sebelum ini tiada siapa kenal dan hanya mempunyai 25,000 pengikut di Instagram.
“Selepas drama itu ditayangkan Hannah popular dan pengikutnya di Instagram sudah pun mencecah 600,000 pengikut dalam tempoh sebulan,” ujarnya.
Beliau turut menambah hal yang sama juga berlaku kepada Siti Elizad yang sebelum ini tidak mendapat tawaran berlakon hampir dua tahun.
“Sebelum ini juga saya ambil Siti Elizad berlakon dalam drama Si Kolot Suamiku selepas hampir dua tahun tidak berlakon dan lihat bagaimana karier lakonannya kembali berkembang selepas itu,” tambahnya lagi.
Menurut David lagi, semua elemen dalam penerbitan sesebuah drama perlu diambil kira bagi menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.
“Gabungan pemilihan novel, jalan cerita, watak dan perwatakan, pelakon, pengarah sangat penting dalam menghasilkan sebuah karya berkualiti.
“Jika harapkan kepada novel sahaja ia belum tentu akan diterima baik peminat dan pada bila-bila masa mereka boleh beralih kepada drama adaptasi lain kerana sekarang pilihan sudah banyak,” ujarnya.
Sementara itu, PFPXDN telah mengumumkan beberapa novel terbitan mereka yang akan diadaptasi sebagai drama seperti Duda Pujaan Dara, Isteri Untuk Iktiraf, Mr. Awesome Guy dan Lelaki Penuh Kejutan. Para novelis juga turut diberi penghargaan pada majlis tersebut.
Diharapkan penerbit-penerbit drama dan filem tanah air dapat menghasilkan karya yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat. Good luck! – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim
*Video sekadar hiasan…