JEMPOL – Mahkamah Majistret Bahau hari ini menetapkan 13 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pemandu treler yang mengakibatkan lapan maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, 11 Jun lalu.
Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan tarikh berkenaan berikutan permohonan menangguhkan prosiding oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Ahmad bagi menunggu laporan kimia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Tertuduh, Norzailan Omar, 44, dari Triang, Pahang, yang diwakili peguam D. Anuratha, tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi dengan ditemani rakannya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian mengenai segala aspek termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta lalu lintas hingga berlaku kemalangan yang mengorbankan pemandu dan penumpang Proton Exora serta Perodua Myvi dalam kejadian pada 2.20 petang 11 Jun lepas.
Norzailan didakwa menyebabkan kematian Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 52; Masnoraida M.Yussof, 44; Wan Mohd Muhaimin Wan Mohd Fauzi, 21; Wan Nur Athira Wan Mohd Fauzi, 18; Wan Muhammad Ammar Haziq Wan Mohd Fauzi, 13; Wan Nur Aleesya Wan Mohd Fauzi, 7; Osman Mohamed Taip, 31; dan Rosniza Othman, 32.
Kes itu sebelum ini disebut di mahkamah sama pada 21 Julai lepas. – BERNAMA