SECARA rasmi malam tadi, melalui Ekpresi Aqsa Solidariti Ummah yang dipancarkan secara langsung di TV AlHijrah, kempen kutipan derma Aman Palestin bermula secara rasmi.
Kempen ini mensasarkan kutipan RM1 juta untuk membantu perjuangan penduduk Palestin dalam perjuangan mempertahankan Al Aqsa.
Konsert tiga jam bertemakan Cintai Al Aqsa itu turut disiarkan RTM 2, Salam HD juga IKIM FM sebagai tanda solidariti media penyiaran dalam menyuarakan sokongan pada usaha mempertahankan Masjidil Aqsa dari pencerobohan berterusan Zionis Israel.
Manakala Bernama TV akan menyiarkan konsert ini secara ulangan pada 3, 10 dan 17 September ini.
Artis tanahair termasuk Raihan, Rabbaini, Nora, Siti Nordiana, Man Bai, Caravan Of Praise, Priakustik, Nastia, Syed Amran Al Yahya & Umarul Iklim turut menjayakan acara yang mula disiarkan pada 9.00 malam.
Al Aqsa merujuk kepada kawasan Masjidil Aqsa yang juga dikenali sebagai Al Quds atau Haram As Syariff. Tapak milik Islam di Kota Lama Baitul Maqdis yang menempatkan empat masjid suci iaitu Al Aqsa, Al Sakra, Majid Buraq dan Masjid Malik Marwan.
Masjidil Aqsa menjadi menjadi tempat ketiga paling suci umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Ia merujuk pada peristiwa Israk Mikraj di mana Rasulullah berisrak dari Mekah ke Al Aqsa sebelum bermikraj dari Al Sakra ke Sidatul Muntaha.
Masjidil Aqsa yang terletak di Kota Lama, Baitul Maqdis diduduki secara haram oleh Israel melalui penaklukan pada tahun 1967. Tahun ini, Zionis meraikan 50 tahun pendudukan Baitul Maqdis.
Julai lalu, penduduk Palestin dilarang memasuki Masjidil Aqsa untuk bersolat setelah tentera Israel menceroboh kawasan suci itu dan menembak mati dua penduduk Palestin.
Ekpresi Aqsa Solidariti Ummah di AlHijrah Big Studio, Cyberjaya turut dihadiri 1,000 penonton yang memberikan sokongan sejak 4.30 petang.
Selain konsert utama, cara bermula dengan solat Asar serta Sesi Ceramah Open Mic di mana pengamal media yang pernah menjejak kaki ke Palestin berkongsi pengalaman mereka.
Kepada yang ingin menderma, sila ke akaun Aman Palestin Berhad, Maybank : 5622 6301 0787. – MYNEWSHUB.CC