KUALA LUMPUR – Tapak semaian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) di Kepong membekalkan sebahagian daripada anak pokok spesies hutan yang dijadikan cenderahati untuk pemenang pingat temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).
Ketua Cawangan Pengeluaran Bahan Tanaman Frim, Dr. Siti Salwana Hashim berkata Frim menyediakan 600 anak pokok untuk program “Satu Pingat, Satu Pokok” itu yang bertujuan membantu mengimbangkan jejak karbon serta memupuk semangat cinta alam bersempena temasya Sukan SEA.
“Spesies anak pokok yang dibekalkan ialah 130 anak Jambu Bol atau Syzygium malaccense untuk pemenang pingat emas, 230 anak Salam (Syzygium polyanthum) untuk pemenang pingat perak dan 240 anak Beruas (Garcinia hombroniana) untuk pemenang pingat gangsa,” katanya kepada Bernama, di sini, semalam.
Tambah beliau, pembekal lantikan Jawatankuasa Pengelola KL2017 telah menghubungi beliau pada hujung April lalu untuk mendapatkan khidmat nasihat pilihan spesies yang sesuai serta membeli stok daripada tapak semaian Frim.
“Antara kriteria pemilihan spesies yang kami cadangkan termasuk spesies tempatan , spesies pokok buah nadir yang dapat bekalkan makanan untuk hidupan liar dan dari segi mudah untuk mendapatkan stok tanaman,” jelasnya.
Menurut Siti Salwana, stok anak pokok Frim tidak sentiasa banyak, justeru pihak jawatankuasa KL2017 turut mendapatkan stok anak pokok spesies itu daripada pembekal lain.
Secara keseluruhannya, jumlah anak pokok yang diterima atlet ialah 5,249 batang, sekaligus menjadi simbolik inisiatif hijau KL2017 yang akan diserahkan semula untuk ditanam di kawasan strategik.
Tambah beliau, anak-anak pokok yang diterima pemenang pingat emas akan ditanam di Bandar Sukan Kuala Lumpur, manakala anak pokok yang lain akan ditanam di bawah viaduct atau jejambat yang telah dibina dalam Pelan Induk Rangkaian Koridor Ekologi, Central Forest Spine (CFS) yang turut melibatkan Frim.
“Penanaman itu akan dimulakan pada Oktober ini di kawasan bawah viaduct yang telah dibina bagi menghubungkan empat kompleks hutan utama yang terpisah di Perak, Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Kawasan itu merupakan koridor ekologi penting negara bagi membolehkan hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir merentasi kawasan hutan dengan selamat. – BERNAMA