KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada Filpina bakal menjadi tuan rumah kepada temasya Sukan SEA edisi ke-30 akan diputuskan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang dijadualkan akan bermesyuarat di sini minggu hadapan.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata keputusan siapakah yang bakal menjadi tuan rumah acara sukan terbesar Asia Tenggara itu akan dibuat pada 18 Ogos ini oleh Majlis Olimpik Filipina (POC) pada mesyuarat yang akan turut dihadiri wakil dari 10 negara.
“Pegawai atasan dari 10 negara akan tiba pada 18 hari bulan ini dan akan menghadiri mesyuarat majlis SEAGF di sini untuk membincangkan semua isu termasuk Filipina sebagai tuan rumah Sukan SEA .
Pada hari itu, kita akan ketahui sama ada mereka (Filipina) mengesahkannya atau tidak kerana jika tidak majlis akan mencari tuan rumah lain dalam masa dua tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga MOM di sini hari ini.
Bulan lepas, agensi berita China, Xinhua melaporkan Filipina telah menarik diri daripada rancangannya untuk menjadi tuan rumah sukan dwitahunan itu kerana ancaman pengganas yang berterusan di wilayah Mindanao, selatan Filipina.
Bagaimanapun. POC mengesahkan mereka masih lagi berunding dengan Kerajaan Filipina untuk membenarkan sukan itu diadakan pada 2019 kerana mereka masih berminat, selepas Manila menjadi tuan rumah pada 2005. – BERNAMA