KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Ia berhubung usaha mereka bertiga mahu membatalkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa konon melakukan salah laku berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Panel tiga hakim bersidang yang diketuai oleh Tan Sri Idrus Harun sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas bersetuju dengan hujahan peguam, Tan Sri Cecil Abraham yang mewakili perdana menteri.
Beliau menyatakan bahawa Najib sebenarnya tidak boleh disaman dengan alasan pemegang jawatan perdana menteri adalah seorang anggota pentadbiran Persekutuan dan bukannya penjawat awam.
Mahkamah turut memerintahkan Mahathir serta bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin membayar kos RM30,000 kepada Najib.
Dalam saman difailkan pada 23 Mac lalu, mereka mendakwa Najib konon sengaja ganggu siasatan berhubung 1MDB dan syarikat berkaitan, serta siasatan aliran masuk wang daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.
Plaintif mendakwa Najib menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO bagi melakukan salah laku kewangan berhubung 1MDB dan syarikat berkaitan.
Ini termasuk siasatan pihak berkuasa terhadap aliran masuk RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International ke dalam akaun peribadinya yang terbukti adalah tidak benar. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA