LOS ANGELES : Bintang Pop, Taylor Swift dijangka hadir ke mahkamah di Denver minggu ini untuk perbicaraan kes membabitkan seorang DJ radio yang didakwa meraba beliau pada satu konsert.
Pemilihan juri bermula petang semalam dan Swift, 28, dibenar memberi keterangan terperinci mengenai serangan yang didakwa berlaku ketika sesi bertemu peminat empat tahun lalu.
Swift berkata DJ radio, David Mueller meraba punggungnya ketika melawat belakang pentas di Pepsi Centre, Denver pada Jun 2013 sebelum konsert berlangsung.
Mueller dipecat dua hari selepas dakwaan dibuat oleh majikannya, sebuah stesen radio tempatan, KYGO.
Dia turut mengambil tindakan mahkamah terhadap Swift pada September 2015, mendakwa Swift sepatutnya memanggil polis dan bukan pengurusnya sehingga menyebabkan dia kehilangan pekerjaan dan gaji.
Mueller menafi dirinya menyentuh Swift secara tidak wajar di punggung dan menyaman penyanyi yang juga penulis lagu itu sebanyak AS$ 3 juta (RM12.8 juta) sementara Swift pula hanya menuntut AS$1 (RM4.20) dan keputusan yang mensabitkan tertuduh bersalah.
Penyanyi lagu popular ‘Shake It off’ dan ‘Bad Blood’ itu mengatakan bahawa keputusan yang berpihak kepadanya akan menjadi contoh bagi wanita lain yang mungkin takut tampil ke hadapan untuk berdepan keadaan yang sama.
Kenyataan pembukaan dijangka bermula hari ini. – AFP