KUALA LUMPUR – “Tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia sentiasa ada untuk membantu” – demikian pesanan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kepada 40 peserta program kesukarelawanan MyCorps, yang bakal ditempatkan di Sri Lanka dan Bangladesh selama dua bulan mulai 15 Ogos ini.
Berucap di hadapan para peserta berkenaan sewaktu majlis Meet & Greet MyCorps Asia Selatan Misi 1/2017 hari ini, Khairy berkata, beliau mahu mereka menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin untuk memberikan impak yang tinggi kepada masyarakat setempat di dua negara berkenaan, terutamanya melalui program-program kesukarelawanan yang telah pun disusun penganjur.
“MyCorps adalah usaha kita untuk mengubah kehidupan, bukan hanya mereka (masyarakat Bangladesh dan Sri Lanka) yang kita bantu, tetapi juga diri anda sendiri..Bila anda keluar dari MyCorps, anda akan menjadi orang lain, dengan pertumbuhan peribadi yang lebih baik, perspektif serta pencapaian anda dalam kehidupan,” katanya.
Khairy juga berkata, misi ini bukan sahaja bertujuan untuk membawa jenama Malaysia ke peringkat dunia bersandarkan imej negara ekonomi pesat membangun, atau negara Islam moden semata-mata, tetapi juga untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia sebuah negara yang berjiwa besar, terutamanya dalam menghulurkan bantuan kepada negara-negara yang memerlukan.
Menurut kenyataan penganjur, Misi 1/2017 ini melibatkan penyertaan 40 sukarelawan belia terdiri daripada 15 lelaki dan 25 wanita, terdiri daripada graduan dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kakitangan kerajaan dan swasta, serta penggerak badan-badan bukan kerajaan (NGO) belia.
Berdasarkan latarbelakang, kemahiran, dan personaliti, para peserta akan dihantar ke Sri Lanka atau Bangladesh untuk memberikan khidmat serta melaksanakan tugas kesukarelawanan dan kemanusiaan kepada komuniti setempat dari wilayah yang terjejas akibat bencana alam, serta peperangan.
Berucap lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, modul pemilihan negara sasaran kali ini bertumpukan kepada Bangladesh dan Sri Lanka, berdasarkan faktor isu sejagat yang sedang melanda kedua-dua negara itu.
“Satu daripada krisis kemanusiaan di kawasan kita sendiri adalah yang melibatkan rakyat atau warga Rohingya. Yang datang ke sini (Malaysia) hanyalah sebahagian kecil saja, tetapi sebenarnya sebahagian besar mereka sudahnya di Bangladesh…sebab itu kita pilih negara berkenaan untuk misi ini.
“Kedua, faktor pembangunan semula selepas perang..satu daripada negara yang dilanda perang adalah Sri Lanka. Saya mahu sukarelawan di sana lihat bagaimana sebuah negara dipecah belah atas kaum dan agama, mereka melalui beberapa dekad perang saudara,” katanya.
Khairy berkata, melalui misi inilah, para peserta dijangka dapat menghayati, mempelajari, meningkatkan kesedaran, serta mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi untuk menjadi rakyat Malaysia yang lebih baik, dan akhirnya dapat menyumbang pengalaman dan kepakaran apabila kembali ke tanah air. – BERNAMA