KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berputus asa terhadap usaha Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) biarpun perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mencatatkan perkembangan.
Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata TPP masih relevan kepada negara ini dan sebarang perbincangan berkaitan adalah seiring dengan RCEP.
“Kita telah menghabiskan banyak masa dan wang untuk TPP, malah sudah pun mencapai persetujuan akhir (perjanjian) sebelum ia dipinggirkan.
“Kita masih meneliti alternatif yang ada dan membincangkan perjanjian itu dengan negara-negara anggota TPP yang lain.
“Malah, satu mesyuarat berkaitan dengan Australia sebagai tuan rumah, akan diadakan pada bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada Hari Eksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kali Ketiga di sini, hari ini.
TPP sepatutnya menjadi perjanjian perdagangan terbesar dalam sejarah dengan pembabitan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.
Ia dimuktamadkan pada 4 Feb, 2016 di Auckland, New Zealand selepas melalui fasa rundingan selama tujuh tahun.
Bagaimanapun pada 23 Jan, 2017, Presiden AS Donald Trump bertindak menandatangani satu memorandum presiden yang membawa kepada penarikan diri negara itu.
Berikutan itu pada Mei lepas, 11 negara lain mencapai kata putus untuk menghidupkan semula perjanjian itu tanpa penyertaan AS.
Selain itu, Mustapa berkata Malaysia masih berurusan dengan AS mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sejajar kedudukan negara berkenaan yang kekal sebagai rakan niaga utama Malaysia.
“AS adalah ekonomi terbesar dunia. Ia adalah rakan dagang ketiga terbesar kita dan menjadi destinasi eksport produk elektrik dan elektronik Malaysia,” katanya.
Sementara itu, acara Hari Eksport PKS selama sehari itu berjaya menghimpunkan lebih 1,500 PKS tempatan yang berkongsi pandangan mengenai cara menembusi serta mengeksport produk masing-masing ke dalam pasaran ASEAN.
Acara anjuran bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, PanPages Bhd dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), merupakan aktiviti utama bersempena sambutan Hari ASEAN bagi mempertingkatkan pengetahuan serta minat PKS dalam usaha pengeksportan, khususnya ke kawasan ASEAN. – BERNAMA